Tuesday, 11 October 2011

Azwandin, Maliki dan Jurit belasah Malaysiakini

Dr. Aziz Bari, Malaysiakini dibidas

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) membidas tindakan pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama Ogos lalu.
Yang Dipertuannya, Azwandin Hamzah berkata, kenyataan itu menunjukkan Abdul Aziz tidak faham dan tidak menghormati kuasa yang ada pada Sultan sebagai ketua agama Islam.
Katanya, sultan bukan sahaja menegur tetapi mahu bertindak adil kepada kedua-dua pihak supaya tidak timbul ketegangan.
''Saya rasa pandangan itu tidak ikhlas, silap dan mempunyai agenda peribadi untuk kepentingan beliau sendiri. Saya juga tidak menolak kemungkinan ia adalah agenda pihak tertentu yang ingin menggunakan beliau,'' katanya dihubungi, di sini, hari ini.
Dalam kenyataan yang disiarkan oleh portal pro pembangkang Malaysiakini, Abdul Aziz dipetik berkata, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja tersebut bukan sesuatu tindakan yang lazim.
Menurut Abdul Aziz, sebagai ketua agama Islam negeri itu baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.
Malahan beliau secara terbuka menyifatkan tindakan Sultan Selangor dilihat tidak konsisten.
Sementara itu, pelbagai pihak turut membidas Malaysiakini kerana menyiarkan komen-komen yang mempertikaikan titah Sultan Selangor dalam isu berkenaan.
Komen-komen pembaca tersebut dibuat bagi mengulas kenyataan Abdul Aziz.
Melalui komen-komen yang disiarkan itu, terdapat pembaca yang mempertikaikan titah Sultan Selangor dengan menuduh baginda memihak kepada UMNO dalam membuat keputusan dan ada juga komen pembaca yang sanggup mempertikaikan kedudukan sultan sebagai ketua agama negeri yang dilantik.
Mengulas tindakan tersebut, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, perbuatan portal itu menyiarkan komen-komen sedemikian perlu diberi perhatian serius dan tindakan segera harus diambil terhadap mereka kerana perbuatan berkenaan amat tidak bertanggungjawab.
Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja mencabar kredibiliti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjalankan siasatan ke atas gereja berkenaan malah turut melibatkan kredibiliti Sultan Selangor selaku ketua agama Islam di negeri itu.
"Malaysiakini gagal menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah pertubuhan media yang berhemah. Tindakan menyiarkan komen-komen terbabit ternyata mencemarkan kredibiliti Sultan Selangor sebagai ketua agama.
"Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mereka. Perkara seumpamanya tidak boleh dibiarkan kerana kita khuatir ia akan menjejaskan imej agama dan juga sultan," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli pula meminta umat Islam bersikap berkecuali dan tidak mengambil kira untung atau rugi dari sudut politik apabila membincangkan soal akidah.
Katanya, tindakan mempertikaikan titah Sultan Selangor itu tidak sepatutnya berlaku jika umat Islam memikirkan kesannya terhadap agama.
"Kita tidak boleh berkompromi dalam isu akidah Islam. Perkara seumpama ini tidak boleh dipolitikkan kerana apa yang haram tetap haram, apa yang halal tetap halal," jelasnya.
Beliau juga menggesa menggesa tindakan segera diambil terhadap portal berita berkenaan supaya kejadian sama tidak berulang.
"Malaysiakini seharusnya menapis terlebih dahulu komen-komen yang ingin disiarkan kerana khuatir ia boleh memberi kesan negatif terhadap sesuatu agama atau kaum.
"Saya tidak pasti apa tujuan mereka menyiarkan komen-komen yang mempertikaikan titah baginda sultan. Kemungkinan besar mereka mempunyai niat tertentu untuk memburukkan imej sultan dan perkara ini perlu diperjelaskan," ujarnya.

Malaysiakini memang celaka!

Agenda terancang burukkan institusi raja – Mohamed Ezam

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Tindakan portal berita propembangkang, Malaysiakini menyiarkan artikel mempersoalkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilihat sebagai satu agenda untuk memburuk-burukkan institusi raja.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohamed Ezam Mohd. Noor berkata, jika diteliti dari awal penubuhan portal berita tersebut, jelas dilihat Malaysiakini sering menyiarkan laporan yang menghilangkan rasa hormat masyarakat terhadap kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan dan kini, institusi raja pula.
“Tindak-tanduk mereka jelas untuk menimbulkan rasa kurang senang terhadap institusi asas negara kita.
“Tindakan membenarkan pembacanya meninggalkan komen juga dilihat menambahkan lagi perbalahan berhubung isu tersebut,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, perkara itu harus diambil serius oleh pihak kerajaan dengan melakukan siasatan menyeluruh terhadap portal berkenaan.
Sultan Sharafuddin semalam melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri itu.
Baginda yang merujuk siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas majlis Thanksgiving Dinner di Dewan 3, Kompleks Dream Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu bertitah, terdapat keterangan ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam tetapi ia tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.
Ekoran itu Malaysiakini melaporkan berita seorang paderi yang mempersoalkan titah Sultan Selangor berhubung isu berkenaan.
Paderi tersebut dipetik berkata: “Ampun Tuanku, bagaimana mungkin untuk mengatakan bahawa terdapat cubaan untuk memesongkan akidah umat Islam pada majlis makan malam di DUMC itu tetapi tidak ada bukti yang mencukupi bagi membuat pendakwaan.”
Malah Malaysiakini juga menyiarkan pembaca portalnya memberi komen terhadap laporan berita tersebut.
Ezam menambah, jika dahulu, perbezaan ideologi politik tidak menghalang rakyat untuk sama-sama menghormati institusi raja, tetapi kini perkara tersebut telah semakin terhakis.
“Tindakan portal berita itu juga dilihat sebagai mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN),” tegasnya.

i-viu: dalam kebebasan bersuara, mereke memang berniat menghapuskan Ketuanan Melayu di negara ini. Alasan, Ketuanan rakyat , ketuanan kristian????

Allah Rahmati Sultan Selangor dan Sultan Sultan Melayu seluruhnya! Amin.

Kerajaan Selangor didesak lakukan 8 perkara

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Nordin mendesak kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk melakukan lapan perkara.
Desakan yang dilakukan itu adalah rentetan kerajaan negeri dan Menteri Besar yang bertindak melulu dengan menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, Ogos lalu.
Katanya, kepimpinan kerajaan negeri seharusnya menunggu laporan lengkap daripada JAIS berhubung perkara berkenaan sebelum melakukan sebarang tindakan.
Zulkifli menerusi blognya hari ini, mendesak kerajaan negeri Selangor bersama dengan Menteri Besarnya agar melakukan lapan perkara berikut;
“Saya mendesak agar Abdul Khalid dan seluruh kerajaan negeri Selangor wajib meminta maaf kepada baginda kerana keceluparan menyalahkan JAIS, sedangkan baginda belum menerima laporan penuh.
“Mereka juga (Abdul Khalid dan kerajaan negeri Selangor) perlu meminta maaf kepada JAIS kerana tindakan terburu-buru menyalahkan jabatan agama itu,” tegasnya.
Selain itu, beliau juga mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap kegiatan dakyah DUMC itu yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan segera menutup operasi DUMC yang dijalankan tanpa permit dan kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Kerajaan Selangor juga wajib menyiasat pertumbuhan dan percambahan gereja-gereja yang beroperasi di rumah kedai dan membatalkan ‘perintah tutup mulut’ yang dikeluarkan terhadap Exco daripada membincangkan isu ini.
“Pakatan pembangkang, terutamanya kaum Anwarinas perlu memohon maaf kepada Exco Hal Ehwal Islam Negeri, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dan JAIS kerana tuduhan dan fitnah melulu yang dibuat terhadap mereka.
“DUMC juga wajib meminta maaf kepada baginda dan umat Islam atas cubaan mendakyah umat Islam,” katanya.
Rentetan itu, Zulkifli juga menyatakan rasa syukur berkenaan dengan titah baginda yang menegaskan bahawa tindakan JAIS itu menepati undang-undang negeri Selangor setelah mendapat laporan penuh berhubung isu berkenaan.

i-viu: apa yang orang kampung tidak tahu ialah menyokong PAS pada PRU13 ialah sebenarnya memberi kuasa kepada DAP memerintah Malaysia dengan membawa perkara-perkara yang telah berlaku di Selangor. Ahli Pas yang sedar harus menyambung kesedaran kepada lebih ramai rakan agar tidak bersekongkol dengan DAP. Kelak jangan dicelakakan orang lain melainkan diri sendiri!

Sunday, 9 October 2011

Hudud: Pas tidak perlu ulangi gendang lama

KOTA BHARU 8 Okt. - Pas tidak perlu mengulangi gendang lama dan menggali semula kubur lama yang mayatnya telah hancur lebur, sekiranya parti itu ikhlas hendak melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Pas telah lebih 20 tahun memerintah kerajaan negeri Kelantan tetapi masih gagal melaksanakan hukum hudud dan kini membangkitkan kembali isu berkenaan.
"Hal ehwal agama adalah hak kerajaan negeri, kuasa raja-raja Melayu. Kalau benar Pas hendak melaksanakan hudud, kerajaan negeri mereka yang kuasai, mereka telah buat 20 tahun yang sudah. Bukan sekarang ini, mengulangi gendang lama dan membuka kubur yang mayatnya telah hancur lebur.
"Hudud ini adalah hukum Islam yang tidak harus dipolitikkan. Kalau mereka ikhlas, tentu sebahagian besar daripada sistem pentadbiran di Kelantan ini telah mengikut hukum yang mereka uar-uarkan itu," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri Kelantan di Terminal Agribisnes Negara (Teman) di Tunjong di sini hari ini.
Sementara itu, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, hukum hudud yang mahu diperkenalkan kerajaan Pas Kelantan wajib menepati kehendak al-Quran, al-Hadis serta realiti dan maslahah semasa.
Menurutnya, kerajaan Pas Kelantan juga wajib menyediakan mekanisme yang diperakukan oleh syarak iaitu daripada peringkat mahkamah, polis, penguat kuasa hingga ke tahap pelaksanaan hukum bagi memastikan keadilan di dalam hukum tersebut sentiasa terpelihara.
Justeru katanya, jika pelaksanaan hukum hudud yang mahu dikuatkuasakan di Kelantan itu gagal menunjukkan keadilan, Pas mesti bertanggungjawab sekiranya imej Islam terjejas.
"(Dalam perkara ini) Pas tidak boleh salahkan orang lain, sebaliknya mereka perlu sediakan mekanisme. Setakat membuat penerangan sekali dalam tempoh setahun seperti sekarang tidak mencukupi," katanya.
Ketua Biro Belia dan Cinta Rakyat, Sekretariat Ulama Muda UMNO, Ahmad Tajuddin Idris al-Manhaji pula berkata, kegagalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperjuangkan hukum hudud secara konsisten hampir 20 tahun lalu disifatkan sebagai usaha Mursyidul Am itu untuk meraih sokongan rakyat demi politik dan bukan berusaha mendapatkan keredaan Allah.
Beliau berkata, perkara itu jelas kerana Nik Abdul Aziz hanya akan menimbulkan isu pelaksanaan hudud itu pada tempoh tertentu.
Apa yang berlaku katanya, usaha yang cuba dilakukan oleh Nik Abdul Aziz itu hanya semata-mata atas kepentingan politik.
Di Pulau Pinang, Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan parti itu tetap dengan pendirian tidak akan bersetuju pada bila-bila masa untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini meskipun sekutunya, Pas bercita-cita melaksanakannya walaupun tanpa kelulusan kerajaan Pusat.
Beliau berkata, parti itu juga tidak akan membenarkan sebarang pindaan dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negara ini walaupun pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Gelombang Merah semakin membesar menelan bahtera PAS!

UMNO mahu menang, bangunkan Kelantan

KOTA BHARU 8 Okt. - UMNO berazam merampas Kelantan daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang bagi membawa lebih banyak pembangunan demi kesejahteraan rakyat negeri ini yang terbukti dahagakan kemajuan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengakui usaha itu sukar, namun tidak mustahil dicapai dengan usaha gigih yang dijalankan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan rakan-rakannya dari dalam dan luar Kelantan termasuk komponen Barisan Nasional (BN).
Malah katanya, usaha untuk merampas Kelantan bagi membawa kemakmuran kepada rakyat, diperkuatkan lagi dengan keyakinan pelbagai pihak terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru membentangkan Bajet 2012 dengan memberi kesejahteraan kepada rakyat di semua peringkat.
"Kami berazam dalam PRU akan datang untuk menterbalikkan keputusan Pilihan Raya 2004, ini azam kami, kalau pilihan raya 2004 kita mendapat 22 kerusi, mereka dapat 23 kerusi, kita berazam dan berusaha di bawah kepimpinan Mustapa dan rakan-rakan yang lain di Kelantan ini sekurang-kurangnya kita dapat 23 dan mereka dapat 22," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, UMNO akan memantapkan jentera parti dalam menjalankan kempen penerangan dan gerak saraf secara lebih intensif bagi menyedarkan rakyat Kelantan mengenai banyak kepincangan serta kelemahan kerajaan Pas Kelantan selepas mentadbir lebih 20 tahun.
"Saya yakin kalau ini dapat dilakukan dengan tersusun dan teratur, banyak isu dan perkara yang menjadi kelemahan kepada kerajaan negeri dan kepimpinan parti yang memerintah negeri Kelantan, tetapi setakat ini kita belum cukup berjaya untuk mengeksploitasi dan menjelaskan kepada orang ramai.
"Orang ramai maklum perkara ini, tetapi kalau penjelasan dapat dibuat maka kelemahan-kelemahan mereka selama lebih 20 tahun ini akan terdedah dengan sendirinya dan kita harap gelombang kali ini adalah gelombang merah yang benar-benar dapat menukarkan minda, sikap dan kuasa rakyat di Kelantan," katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan ahli dan pemimpin UMNO negeri supaya mengetepikan masalah dalaman yang berlaku bagi memastikan matlamat merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri daripada Pas tercapai.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Ahmad Zahid berkata, sekiranya UMNO mengambil alih Kelantan, parti itu pasti akan membuat perubahan bagi memastikan rakyat Kelantan dapat menikmati kemajuan dan pembangunan.

i-viu: Demi kuasa (PAS) vs Demi rakyat (BN) !!- Hakikat nik aziz seorang ahli politik tidak dinafikan lagi. Bekerja kuat dan bersatulah ahli BN seluruhnya, jadikan gelombang merah sebagai tsunami.

Friday, 7 October 2011

Kelantan tubuh jawatankuasa pelaksana hudud

KOTA BHARU 7 Okt. - Selepas didesak pelbagai pihak, akhirnya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan satu jawatankuasa pelaksana hukum hudud akan ditubuhkan.
Menurut beliau, jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menentukan bagaimana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 bakal digazetkan untuk pelaksanaan serta penentuan semua perkara berkaitan seperti pelantikan hakim.
Mursyidul Am Pas itu berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut hanyalah perkara teknikal dan segala urusan terletak kepada tindakan pegawai kerajaan negeri.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan tepat bila tugas jawatankuasa pelaksana itu akan bermula dan memberi alasan ia tidak boleh tergesa-gesa.
"Kita akan tubuh dan serah kepada jawatankuasa itu, bagaimana nak gazet, siapa nak dilantik jadi kadi, hakim, benda ini bukan lagi kerja saya tapi kerja teknikal, kerja pegawai.
"Benda ini tidak boleh buat dengan cepat, selama ini kita hanya beri kursus dan penerangan, sekali setahun kita buat wacana hudud kerana kita berasa payah, tapi sekarang ini alhamdulillah, dengan pemahaman yang diberi pakar perlembagaan seperti Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, nampak jelas, tidak ada apa salah untuk melaksanakan hudud.
"Seperti saya pernah sebut, ini urusan dan perkara negeri, di bawah kuasa Tuanku Sultan, jadi kenapa Kerajaan Pusat nak ganggu kerja-kerja ini, malah Abdul Aziz kata kita boleh saman Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dia ganggu semangat federalisme dengan surat amarannya dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya bila kerajaan Kelantan akan melaksanakan hukuman hudud selepas menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri, di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan teguran Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad bahawa kerajaan negeri hanya lantang bercakap mengenai hudud pada waktu tertentu meskipun peruntukannya telah diluluskan sejak lebih 20 tahun lalu.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin baru-baru ini dilaporkan berkata, suasana di Kelantan belum kondusif untuk pelaksanaan hukuman hudud.
Sementara itu, dalam masa sama, Nik Abdul Aziz menyambut baik kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilaporkan meminta Kerajaan Pusat memberi peluang kepada Kelantan melaksanakan hukuman hudud di negeri ini.
"Dia sebagai seorang mufti, dia tahu hukum hudud, hudud ini hukum syarak, bukan hukum pandai-pandai Pas, ini hukuman yang ada dalam al-Quran, jadi kenapa disekat-sekat? Sekat ini tanda kita tak faham, atau termakan pengaruh Barat yang mengatakan Islam ini ganas," katanya.

i-viu: Hai..takkan nak saman TDM sahaja, Lawyer Karpal Singh pun mesti kena jugak! Itu KEADILAN namanya!  Tentang mufti Perak pula, jika selari angin Nik Aziz, cepat saja disambutnya! Umum bukan tidak tahu berapa kali mufti Perak itu ditentang PAS.

Cuma kita belum dengar apa kata kedutaan Amerika di Malaysia ni tentang hudud, sedangkan sewaktu perlantikan baharu Duta Besar dalam beberpa bulan dahulu, Duta tersebut ada bertemu Nik Aziz.

Noramfaizul penerima pertama Bintang Gagah Perkasa

MELAKA 8 Okt – Kerajaan Melaka memberikan penghormatan tertinggi kepada jurukamera BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor menerusi anugerah Bintang Gagah Perkasa (BGP) sempena ulang tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob hari ini.
Allahyarham yang terkorban ketika menyertai misi kemanusiaan di Somalia pada 2 September lepas adalah penerima pertama anugerah yang diperkenalkan pada 1978 itu.
Bercakap pada sidang media di sini, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh berkata, anugerah itu diperkenalkan khusus untuk anggota tentera dan polis namun tidak pernah ada penerima.
"Anugerah BGP ini bagi mengenang jasa Noramfaizul yang terkorban sebagai wira negara sewaktu misi kemanusiaan dan kami amat menghargai jasa Allahyarham," katanya.
Allahyarham juga penerima tunggal anugerah itu pada sambutan kali ini.
Noramfaizul, 39, yang menaiki kenderaan pacuan empat roda terbunuh akibat terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan semasa menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di negara bergolak itu. – Bernama

 i-viu: tahniah kepada kerajaan Melaka yang responsif pada pengorbanan seorang rakyat kerdil. Persetankan mereka yang mengatakan ia bukan mati syahid. Itu hak Allah secara tuntas.